Sunday, September 16, 2007

Pembatalan Projek Incinerator di Broga

Sistem urus sisa pepejal Print E-mail
Tuesday, 24 July 2007, 06:46am

©Utusan Malaysia (Digunakan dengan kebenaran)
Oleh Latifah Abd. Manaf

Berita pembatalan projek insinerator di Broga baru-baru ini mengejutkan masyarakat. Projek insinerator berteknologi gasifikasi dan peleburan abu yang berharga RM1.5 bilion di tapak seluas 265 hektar itu sepatutnya beroperasi bagi menangani 1,500 tan sisa pepejal perbandaran dari kawasan Lembah Klang.

Walau bagaimanapun belum sempat beroperasi, projek tersebut telah ditamatkan dan kerajaan terpaksa menanggung kos pembiayaannya.

Projek insinerator di Broga bukan kali pertama kita melakukan kesilapan dalam memilih teknologi pengurusan sisa pepejal yang efektif untuk Malaysia. Sebelum ini pun, beberapa projek insinerator telah cuba dilaksanakan di negara ini tetapi gagal berfungsi sepenuhnya. Sebagai contoh, tujuh loji insinerator telah dibangunkan dengan kos RM17 juta di beberapa pulau peranginan seperti Langkawi, Pangkor, Tioman dan Labuan tetapi gagal berfungsi kerana kapasitinya yang kecil tidak dapat menampung amaun sisa yang banyak.

Selain insinerator, kerajaan juga telah cuba mempromosikan teknologi kitar semula bagi menguruskan sisa pepejal yang kian meningkat kadar penjanaannya. Kempen kitar semula buat pertama kalinya telah dilancarkan pada 1993 di 23 buah kerajaan tempatan tetapi kurang mendapat sambutan daripada orang ramai dan pengilang. Bagaimanapun ada beberapa kerajaan tempatan yang berjaya melaksanakan kempen tersebut seperti Majlis Perbandaran Petaling Jaya, Majlis Perbandaran Melaka dan Dewan Bandaraya Kuching Utara.

Pada 2 Disember 2000, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah melancarkan semula kempen kitar semula fasa kedua. Tarikh 11 November, setiap tahun telah diisytiharkan sebagai Hari Kitar Semula Kebangsaan. Namun setelah hampir tujuh tahun fasa kedua kempen dilancarkan, hasilnya masih belum dapat dibanggakan.

Peratus perolehan semula bahan kitar masih rendah, jauh daripada angka yang disasarkan. Masih banyak tong kitar semula yang disediakan belum berfungsi secara sepenuhnya. Masyarakat pula masih belum terdidik sepenuhnya betapa kitar semula dapat menyumbang kepada pemeliharaan sumber semula jadi serta menjamin alam sekitar yang bersih dan selamat untuk dihuni.

Pada masa ini operasi pengurusan sisa pepejal hanya menekankan kepada proses pungutan dari tapak penjanaan termasuk kawasan perumahan, institusi, perdagangan dan industri dan seterusnya dihantar ke tapak pelupusan. Terdapat 155 buah tapak pelupusan di seluruh negara yang dikendalikan oleh kerajaan tempatan dengan keluasan di antara 8 hingga 60 hektar, bergantung kepada lokasi dan amaun sisa yang dilupuskan. Kebanyakan tapak pelupusan ini beroperasi secara pembuangan terbuka.

Pelupusan

Rancangan Tindakan 1988 telah dibangunkan bagi meningkatkan tahap keberkesanan tapak pelupusan. Oleh kerana faktor kewangan dan kepakaran teknikal yang terhad, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan merancang untuk meningkatkan tahap keberkesanan tapak pelupusan daripada operasi secara pembuangan terbuka kepada kambusan sanitari secara berperingkat.

Empat tahap pembaikan yang disasarkan adalah Tahap 1: Pembuangan terkawal. Tahap 2: Kambusan sanitari dengan ban dan lapisan penutup harian. Tahap 3: Kambusan sanitari dengan peredaran cecair kurasan, dan Tahap 4: Kambusan sanitari dengan rawatan cecair kurasan.

Bagaimanapun tahap pembaikan tapak pelupusan masih belum mencapai objektif yang disasarkan yang mana pembuangan terbuka masih lagi berleluasa.

Jabatan Kerajaan Tempatan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta, Jabatan Perkhidmatan Kejuruteraan, Kementerian Kesihatan merupakan dua badan yang bertanggungjawab menguruskan sisa pepejal pada peringkat persekutuan.

KPKT bertanggungjawab dalam merangka dan melaksanakan polisi kerajaan tempatan yang seragam dan moden untuk seluruh Malaysia, manakala Kementerian Kesihatan bertanggungjawab dalam melaksanakan dan memantau Program Kebersihan Sekitaran Kebangsaan.

Terdapat 145 buah kerajaan tempatan di Malaysia dengan pelbagai tahap keupayaan dalam menyediakan perkhidmatan perbandaran kepada orang awam. Daripada peruntukan yang diterima saban tahun, kerajaan tempatan telah membelanjakan 40-70 peratus untuk menguruskan sisa pepejal perbandaran, namun perkhidmatannya masih kurang berkesan untuk kebanyakan kawasan terutamanya dari segi aktiviti pungutan sisa pepejal.

Pada tahun 1996, pengurusan sisa pepejal telah diswastakan. Walaupun kerajaan tempatan mempunyai tenaga kerja dan peralatan yang banyak, tetapi faktor kewangan menjadi penghalang utama.

Di bawah program penswastaan yang dirancangkan, empat konsortium telah dilantik dan dibahagikan zon masing-masing: Alam Flora Sdn. Bhd. (meliputi Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan), Nothern Waste Sdn. Bhd. telah diambil alih oleh Idaman Bersih Sdn. Bhd. (meliputi Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis), Southern Waste Management Sdn. Bhd. (meliputi Johor, Negeri Sembilan dan Melaka), dan Eastern Waste Management (meliputi Sabah, Sarawak dan Labuan).

Bagaimanapun dasar penswastaan ini masih belum menampakkan hasil yang positif di mana sistem pengurusan sisa pepejal di Malaysia masih lagi tidak cekap dan tidak diuruskan dengan sempurna.

Membangunkan dan melaksanakan sistem pengurusan sisa pepejal perlu melibatkan gabungan teknologi yang sesuai dengan keadaan dan undang-undang tempatan. Oleh kerana pengurusan sisa pepejal merupakan suatu masalah yang kompleks, pendekatan bersepadu perlu diguna pakai.

Pendekatan bersepadu yang dimaksudkan adalah kita perlu mengambil kira kesemua elemen pengurusan sisa pepejal bermula dari tapak penjanaan sehinggalah ia dilupuskan. Ciri dan komposisi sisa perlu difahami dalam proses pemilihan teknologi pengurusan bagi mencapai objektif yang disasarkan.

Kekurangan maklumat sisa pepejal, kelemahan penguatkuasaan, kekurangan kesedaran awam dan kakitangan terlatih boleh menjadi punca kegagalan.

Pemilihan teknologi pengurusan sisa pepejal merupakan masalah membuat keputusan pelbagai kriteria yang melibatkan penilaian subjektif. Proses pemilihan sukar dilakukan kerana ia berada dalam lingkungan sumber yang terhad. Kerumitan proses ini semakin bertambah apabila melibatkan isu sosial dan sekitaran serta masalah pembiayaan projek.

Kesesuaian teknologi menentukan kejayaan program pengurusan sisa pepejal dan ia perlu dipertimbangkan pada peringkat awal perancangan. Kesesuaian teknologi tidak hanya merujuk kepada operasi dan kos mesin yang diimport dari negara maju, tetapi juga merujuk kepada kesesuaian gabungan teknologi. Teknologi yang diterima pakai dari negara maju tidak semestinya efektif untuk negara kita tetapi perlu diubah suai mengikut keadaan tempatan.

* DR. LATIFAH ABD MANAF ialah Pensyarah Jabatan Sains Alam Sekitar, Fakulti Pengajian Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia.

No comments: