Tuesday, September 18, 2007

NASIONAL 16 pusat lupus sampah ditutup 2008


KUALA LUMPUR: Kerajaan sudah memperuntukkan RM160 juta bagi menutup 16 pusat pelupusan sampah kritikal di seluruh negara dan akan dilaksanakan mengikut kaedah mesra alam menggunakan teknologi terkini yang terbukti selamat selewat-lewatnya tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata Jawatankuasa Teknikal di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mengenal pasti kaedah serta teknologi terbaik bagi melakukan kerja terbabit, termasuk kemampuan syarikat tempatan melaksanakannya.

"Kerajaan turut melantik pakar perunding melakukan kajian sebelum melantik syarikat yang memiliki kepakaran bersesuaian bagi mengendalikan penutupan pusat pelupusan sampah. Saya percaya menjelang tahun depan kita sudah bersedia untuk mengeluarkan kontrak berkaitan.


"Selepas ini kerajaan hanya akan membenarkan pembukaan pusat pelupusan sampah secara sanitari atau yang menggunakan insinerator. Kita akan kaji kaedah dan teknologi lain yang bersesuaian mengikut kawasan kerana sudah ada syarikat tempatan yang berupaya melakukannya.

"Kita mahu tutup 16 pusat pelupusan ini pada masa terdekat, tetapi tertakluk apabila kontrak dianugerahkan dan tempoh masa diperlukan," katanya pada sidang media selepas majlis penyempurnaan Projek Pemuliharaan Mesra Alam Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Taman Beringin, di sini, semalam.

Hadir sama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Abdul Hakim Borhan; Pengerusi Kumpulan Cypark (Cypark), Tan Sri Razali Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Cypark, Daud Ahmad.

Majlis sama turut menyaksikan Najib merasmikan pelancaran Loji Air Resapan Taman Beringin. Kedua-dua projek membabitkan kawasan seluas 14 hektar itu disempurnakan anak syarikat Cypark, CyEn Resources Sdn Bhd dengan kos RM33 juta.

Apabila kerja penutupan dimulakan pada Ogos 2004, pusat pelupusan yang beroperasi sejak 1994 itu dipenuhi timbunan sampah setinggi 88 meter dari paras laut dan sudah mencapai tahap maksimum pada 1999 serta diarah ditutup oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada tahun sama.

Bagaimanapun, ketiadaan pusat pelupusan lain memaksa ia terus digunakan bagi melupuskan lebih 1,800 tan sampah dihasilkan penduduk sekitar Lembah Klang setiap hari.

Pusat pelupusan yang ditutup itu memerlukan kira-kira 10 tahun lagi sebelum dipulihkan sepenuhnya dan selamat untuk kegunaan lain. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bercadang membina pusat rekreasi di tapak berkenaan.

Terdahulu dalam ucapannya, Najib berkata, kejayaan Cypark memulihkan pusat pelupusan sampah Taman Beringin membuktikan kawasan yang hodoh, busuk dan memualkan boleh diubah menjadi indah, cantik dan menawan jika ada kesungguhan.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan komited dalam pemuliharaan alam sekitar sehingga mencapai tahap piawaian antarabangsa kerana amalan melindungi alam semula jadi memberi nilai tambah kepada ekonomi negara.

Selain itu, tindakan memulihara lebih banyak kawasan hijau, khususnya di sekitar Lembah Klang membolehkan masyarakat setempat menikmati mutu hidup lebih baik.

Najib berkata, sampah sebelum ini dilupuskan di Taman Beringin akan dihantar ke pusat pelupusan sampah sanitari di Bukit Tagar, Kuala Selangor yang belum mencapai tahap maksimum sementara pusat pelupusan baru menggunakan kaedah mesra alam dapat dibuka.

Beliau juga menyuarakan keyakinan terhadap kaedah penutupan pusat pelupusan sampah diguna pakai Cypark dan percaya syarikat tempatan mempunyai kemahiran bersesuaian bagi melaksanakan tugas itu.

sumber : Berita Harian, 18 September 2007

No comments: